Foto Sekadar Ilustrasi
Tempat-tempat
yang disukai oleh masyarakat jin
Rasulullah S.A.W. pernah memberitahu bahawa
tempat yang paling disukai para jin adalah laut, bilik mandi, tempat yang kotor atau
sampah dan sebagainya. Tandas adalah salah satu tempat di muka bumi ini yang
paling digemari oleh jin, oleh sebab itu Rasulullah s.a.w memerintahkan umatnya
supaya memohon perlindungan kepada Allah dari jin, dengan membaca, “allahumma inni a’udzu bika minal khubutsi
wal khaba’its” (ya, Allah,aku memohon perlindungan dari gangguan jin lelaki dan
jin wanita).
Rasullullah S.A.W. telah bersabda:
“Sesungguhnya pada tiap-tiap tempat pembuangan kotoran ada didatangi jin,
kerana itu bila salah seorang kamu datang ke tandas maka hendaklah dia
mengucapkan doa: ”Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadamu dari jin
lelaki dan perempuan” (Hadith Riwayat Abu Dawud)
Para ulama' Islam juga banyak berpendapat
tentang tempat yang paling di sukai oleh jin, seperti: Quraish Shibab
menjelaskan bahawa padang pasir, pergunungan, pasar dan atap rumah juga di
sebut-sebut dalam banyak riyawat tempat yang paling disukai jin. Menurut Syekh
Abdul Mu’nim Ibrahim, tempat hidupnya jin adalah tempat yang sepi, tetapi ada
pula beberapa jin yang hidup di pulau-pulau tengah laut, padang pasir, tempat
sampah atau tempat yang rosak dan di antara mereka ada juga yang hidup bersama
manusia.
Dari ibnu jabir r.a mengatakan, Rasulullah
s.a.w pernah bersabda, "pada awal malam atau pada awal kalian
memasuki waktu petang, lindungi anak-anak kalian kerana syaitan masuk pada
waktu itu. Apabila awal malam telah berlalu, biarkan mereka dan tutuplah pintu
serta sebutlah nama Allah, kerana syaitan tidak mampu terhadap pintu yang
tertutup (jika di sebut dengan nama Allah ketika di tutup)." (Hadith
Riwayat Bukhari dan Muslim).
Bangsa jin itu memang suka tinggal di dalam gua, laut, bukit,
gunung dan hutan, atau tempat-tempat terpencil lainnya. Namun jangan terkejut,
mereka juga boleh tinggal serumah dengan anda. Berikut adalah beberapa
riwayat yang menjelaskan mengenai tempat tinggal jin. Tentu saja agar kita
tidak mengganggu mereka dan mereka pun tidak mengganggu kita.
1 - Abu Muhammad di dalam kitabnya Al-Uzmah
menceritakan satu bab khusus tentang jin dan kejadiannya. Beliau meriwayatkan
satu hadist yang bersumber dari Bilal bin Al-Haris. Demikian Bilal
meriwayatkan:
“Kami pernah pergi bersama Rasulullah s.a.w
dan beristirehat di suatu tempat untuk buang air. Lalu aku (Bilal bin Al-Haris)
membawakan satu baldi air dan ku letakkan berdekatannya. Tiba-tiba aku
mendengar suara gemuruh, iaitu suara pertempuran yang belum pernah ku dengar
sebelumnya. Demikian pula bahasa yang mereka pergunakan. Setelah Rasulullah
s.a.w mengetahui kalau aku pun mendengar apa yang baginda dengar, maka
sabdanya, “Jin Muslim dan Jin Musyrik sedang bertempur. Mereka bermohon
kepadaku untuk mendamaikan mereka. Maka jin yang Muslim saya tempatkan di
kawasan yang bernama Jalis, dan jin yang Musyrik saya tempatkan di kawasan yang
bernama Ghour.”
Apakah Jalis dan Ghour itu? Ibnu Katsir
menjelaskan bahawa Jalis adalah suatu tempat yang terletak di kawasan
pergunungan, sedang Ghour adalah tempat antara gunung dan lautan.
Ibnu Katsir seterusnya berkata, orang yang diganggu jin di Jalis kebanyakannya
selamat, sedangkan yang diganggu jin di Ghour jarang sekali yang selamat.
2 - Imam Za Maksyari di dalam kitabnya Rabiul
Abrar menjelaskan, bahawa masyarakat di sebuah dusun bercerita kepadanya, “Kami
pernah singgah di suatu kawasan di mana terdapat ramai orang dan ada beberapa
khemah. Tetapi tiba-tiba orang ramai dan khemah-khemah tersebut hilang dari
pandangan kami. Kami merasa yakin bahawa orang-orang itu adalah jin, sedangkan
khemah-khemah itu adalah tempat tinggal mereka.”
Beliau kemudian menegaskan, “Tidak ada satu
keluarga Muslim, kecuali pada atap rumahnya terdapat jin yang Muslim pula. Bila
keluarga Muslim itu telah menyiapkan makanan pagi, jin itu pun turun dan ikut
makan bersama, dan bila mereka makan petang, jin itu turun dan makan petang
bersama mereka. Dengan jin itu Allah Ta’ala menjaga keluarga yang Allah
berkenan kepadanya.”
Dengan demikian jelas bahawa adakalanya jin
itu dapat dilihat oleh manusia. Ini terjadi kerana seseorang memiliki ilmu
ghaib, atau kerana jin-jin itu yang memang menyamar sebagai manusia.
3. Imam Malik dalam kitab Al-Muwattha'
meriwayatkan, bahawa ada sebuah berita yang sampai kepadanya, iaitu ketika Umar
bin Khattab r.a hendak pergi ke Iraq. Ketika itu Ka’bul Akhbar berseru kepada
Umar, “Wahai Amirul Mukminin, janganlah engkau pergi ke sana, sebab di Iraq
terdapat banyak sihir dan banyak jin-jin yang jahat dan fasik, serta penyakit
yang sukar diubati.”
Kerajaan-kerajaan jin di atas air dan lautan
Kita tinggal di atas Bumi yang merupakan 71%
adalah permukaan air manakala hanya 28% daratan. Secara terangnya kita hanya
menghuni hanya 1/3 dari kawasan Bumi (walaupun kita tidak menghuni secara
padat). Iblis dan jin pula telah Allah ciptakan beribu-ribu tahun terlebih
dahulu dari Allah mencipta Nabi Adam a.s sebagai khalifah di muka bumi ini.
Menunjukkan betapa mereka sudah tersangat maju dalam sains dan teknologi
sehinggakan tempat tinggal mereka berada di mana-mana termasuk di atas air.
Maka tidak hairanlah apabila kita melihat
sekarang ada manusia pun yang dapat berjalan atas air, walaupun dia bukannya
seorang Islam yang warak. Tidak lain dan tidak bukan semua itu adalah dengan
bantuan para jin.
Dalam hadis Jabir r.a. berkata: Bersabda
Rasulullah s.a.w: "Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas
lautan (dalam riwayat lain di atar air) dan kemudian dia pun mengutus
pasukannya.” (Hadith Riwayat Muslim (2813))
Perkuburan
Para jin juga ada yang suka tinggal di perkuburan.
Ketahuilah, kebiasaan hantu-hantu yang dijumpai di kawasan kubur adalah jin-jin
yang menyamar, bukannya roh ahli-ahli kubur tersebut. Mungkin jin-jin yang
menyamar itu mahu memberi kepercayaan karut kepada manusia bahawa roh manusia
berkeliaran di kubur.
Telah datang dari hadis Abu Said Al Khudri
r.a. bahawa Rasulullah s.a.w, bersabda: "Permukaan bumi itu semuanya
masjid (boleh dijadikan tempat untuk bersolat) kecuali perkuburan dan bilik
mandi." (Hadith Riwayat Ahmad (3/83), Abu Daud (492), Tirmidzi (317), Ibnu
Hibban (1699), Al Hakim (1/251))
Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah
rahimahullah sebagaimana yang disebutkan di dalam "Majmu Fatawa"
(19/41) ketika berbicara tentang tempat-tempat jin: "Pada perkuburan itu
terdapat sarana menuju kesyirikan .... Para syaitan menuntut orang yang hendak
menjadi tukang sihir untuk selalu tinggal di perkuburan. Dan di sanalah para
syaitan turun mendatanginya dan tukang sihir itu berulang-alik ke tempat ini.
Para syaitan menuntutnya untuk memakan sebahagian orang-orang mati.”
Tempat istirehat unta
Dari Abdullah bin Mughaffal r.a. berkata,
bersabda Rasulullah s.a.w: "Solatlah kalian di tempat peristirehatan
(kandang) kambing dan janganlah kalian solat di tempat peristirehatan (kandang)
unta kerana sesungguhnya unta itu diciptakan dari syaitan." [Hadith
Riwayat Ahmad (4/85), Ibnu Majah (769) dan Ibnu Hibban (5657) dan selainnya)]
Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah
rahimahullah sebagaimana yang disebutkan di dalam "Majmu Fatawa"
(19/41) ketika menjelaskan tentang penyebab dilarangnya solat di tempat
peristirehatan unta. Penyebab (dilarangnya solat) di bilik mandi, tempat
peristirehatan unta dan yang seumpamanya adalah kerana itu adalah tempat-tempat
para syaitan.
Tempat pembuangan sampah dan kotoran
Berkata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah
rahimahullah dalam "Majmu Fatawa" (19/41): "(Para syaitan)
ditemukan di tempat-tempat bernajis seperti kamar mandi dan tandas, tempat
sampah, kotoran serta perkuburan."
Tempat yang telah rosak dan diabaikan
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam "Al
Adab Al Mufrad" (579) dari Tsauban r.a. berkata: Rasulullah s.a.w berkata
kepadaku: "Janganlah kamu tinggal di tempat yang jauh dari pemukiman
kerana tinggal di tempat yang jauh dari pemukiman itu seperti tinggal di
perkuburan."
Hadis ini hasan. Berkata lebih dari satu
ulama bahawa Al Kufuur adalah tempat yang jauh dari pemukiman manusia dan
hampir tidak ada seorang pun yang lalu di situ. Berkata Syaikhul Islam Ibnu
Taimiyyah sebagaimana yang disebutkan dalam "Majmu Fatawa" (19/40-41)
ketika berbicara tentang jin: "Oleh kerana itu, (para syaitan) banyak
ditemui di tempat yang telah rosak dan kosong."
Di dalam lubang-lubang
Telah datang hadis Ibnu Sarjis r.a. dia
berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: "Janganlah salah seorang di antara
kalian kencing di lubang…"
Mereka berkata kepada Qatadah: "Apa yang
menyebabkan dibencinya kencing di lubang?" Dia berkata: "Disebutkan
bahawa itu adalah tempat tinggalnya jin". Hadis ini dikeluarkan oleh Ahmad
(5/82), Abu Daud (29), An-Nasai (34), Al-Hakim (1/186) dan Al-Baihaqi (1/99).
Lebih dari satu ulama yang membenarkan bahawa Qatadah mendengar dari Abdullah
bin Sarjis r.a. (Lihat kitab "Jami' At Tahshiil.)
Tempat-tempat berlaku syirik, bid'ah dan
maksiat
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya
malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan
gambar." [Hadith Riwayat Bukhari (3226) dan Muslim (2106) dari hadis Abu
Thalhah dan Aisyah Radhiyallahu 'anhuma dan datang pula dari para sahabat yang
lain).
Jika malaikat tidak masuk ke dalam rumah,
maka syaitanlah yang masuk kerana malaikat adalah tentera-tentera Allah s.w.t
yang diutus untuk menjaga kaum mukminin dan menolak kemudharatan dari mereka.
Termasuk kebodohan adalah jika seorang muslim mengusir malaikat dari rumahnya
yang menyebabkan masuknya jin dan syaitan ke dalamnya. Maka makmurkanlah rumah
itu dengan zikir kepada Allah s.w.t, ibadah serta membaca Al-Quran.
Rasulullah s.a.w bersabda: "Janganlah
kalian menjadikan rumah-rumah kalian sebagai perkuburan kerana sesungguhnya
syaitan itu lari dari rumah yang di dalamnya dibacakan Surah Al-Baqarah."
(Hadith Riwayat Muslim (780), Ahmad (2/337), Tirmidzi (2877) dan selainnya).
Pasar-pasar
Telah datang dari Salman r.a., berkata:
"Janganlah engkau menjadi orang pertama yang masuk ke pasar jika engkau
mampu dan jangan pula menjadi orang paling terakhir yang keluar darinya kerana
pasar itu adalah tempat peperangan para syaitan dan di sanalah ditancapkan
benderanya." (Hadith Riwayat Muslim (2451))
Di pasar atau bandar lah tempat syaitan cuba
menghasut dan mengadu-domba manusia agar berbuat kejahatan dan segala macam
maksiat.
Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w
bersabda: "Tempat yang paling disukai oleh Allah adalah masjid dan tempat
yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar." (Hadith Riwayat Muslim
(671))
Maka untuk kita lebih disukai oleh Allah,
hendaklah kita lebih suka pergi ke masjid daripada pergi ke pasar ataupun
bandar. Jika terpaksa pergi ke bandar untuk membeli-belah pun, sebaik-baiknya
cuba larikan diri seberapa segera yang mungkin, dan tidak terus duduk
lepak-lepak di bandar kerana ianya sangat disukai oleh Syaitan.
Apa kesukaan jin dan kesukaan manusia?
Dan makhluk-makhluk halus yang terdiri dari
unsur-unsur api, zarah-zarah mereka terdiri dari caj-caj elektrik, amat suka
kepada tempat pertemuan antara panas dan sejuk. Dan tidak lupa jin-jin juga suka makan asap, kerana asap juga
berasal dari unsur api. Seperti mana kita manusia yang sukakan minuman segar,
makanan yang hangat, buah-buahan segar dan menghirup oksigen dan udara segar
kerana kita ini terdiri dari 4 unsur iaitu air, api, tanah dan angin. Air
pasangannya api manakala tanah pasangannya angin. Wallahu a'lam.