Monday, 27 March 2017

PENGENALAN

PARANORMAL: DARI SUDUT AGAMA, SAINS DAN KEPERCAYAAN
Paranormal adalah gabungan dua perkataan iaitu para yang bermaksud menjangkaui dan perkataan normal yang merujuk kepada pola atau keadaan yang lazim. Istilah paranormal pada masa ini sememangnya sering dikaitkan dengan kejadian yang berpunca daripada makhluk ghaib. Definisi entiti menurut Dewan Bahasa & Pustaka ialah sesuatu yang mempunyai kewujudannya yang tersendiri, jin-makhluk halus; ifrit-roh jin yang jahat; syaitan-makhluk halus yang jahat dan roh-bahagian dalam manusia yang mempunyai daya, benda hidup berjasad (malaikat, jin, syaitan) semangat dan jiwa.
Paranormal juga mencipta nama bagi segelintir kumpulan yang mencari dan cuba mengkaji mahkluk halus ini seperti kumpulan ANUGERAH AGUNG INVESTIGASI SUPERNATURAL dan beberapa lagi kumpulan di Malaysia. Malah terdapat beratus-ratus lagi persatuan dan pertubuhan di luar negara yang turut mengkaji fenomena paranormal. Walau bagaimanapun kajian mengenai paranormal ini kadangkala ditolak oleh ilmu sains kerana fenomena tersebut tidak boleh dibuktikan secara saintifik. Kertas kerja ini akan lebih menjurus kepada kewujudan makhluk-makhluk ghaib yang kebanyakannya akan berpaksikan kepada Al-Quran dan Hadis serta dikaitkan dengan penggunaan peralatan atau perkakasan berteknologi moden.
Walau bagaimanapun masih terdapat kekeliruan atau percanggahan pendapat mengenai kewujudan paranormal. Kebanyakan para pengkaji paranormal dari barat berpendapat bahawa hantu adalah roh orang yang telah mati. Namun begitu dari sudut agama pula hantu adalah dari golongan-golongan jin seperti yang terdapat di dalam Al Quran. Percanggahan pendapat ini mungkin disebabkan pengetahuan manusia biasa dalam kewujudan makhluk ghaib ini adalah begitu sedikit dan tidak menyeluruh.
 Seperti dalam firman Allah:
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh, katakan ’Roh itu dari perkara urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja’(Surah Al-Israa’ : 85)

Dalam membincangkan topik ini, kita tidak boleh lari dari sudut keagamaan. Dalam ajaran Islam, manusia adalah salah satu makhluk yang diciptakan oleh Allah S.W.T. Selain itu juga kita perlu mengetahui dan mempercayai akan kewujudan makhluk-makhluk lain yang juga diciptakan oleh Allah S.W.T. Dengan mengkaji kewujudan makhluk-makhluk ghaib maka kita akan lebih mengetahui akan hakikat kejadian mahkluk tersebut secara umum di mana kajian ini juga akan terbatas dengan kekayaan dan kekuasaan ilmu dari Allah S.W.T. yang sesungguhnya lebih luas dan tidak mampu dicakupi oleh pemikiran manusia.

KEWUJUDAN MAKHLUK GHAIB
Di dalam Islam, roh itu sering dikaitkan dengan manusia dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar, manakala yang dilihat dengan mata kasar saban hari ialah jasad dan roh itu sebenarnya terselindung disebalik jasad. Tatkala manusia itu sudah sampai ajalnya maka nyawa atau roh tadi akan ‘diambil’ oleh Tuhan dan yang tinggal hanyalah jasad manusia tadi. Pengkaji Barat juga mengakui akan kewujudan roh dalam diri jasad manusia selain emosi dan minda . Oleh itu dapat disimpulkan bahawa di dalam Islam makhluk ghaib ciptaan Tuhan itu terdiri daripada roh(manusia), malaikat, dan jin.

Langkah pertama untuk memahami perkara ghaib itu ialah manusia perlu menanam sikap mempercayai akan kewujudan perkara ghaib ini terlebih dahulu. Beriman kepada perkara yang ghaib sebenarnya telah lama menjadi pegangan agama Islam yang antara lain menuntut umatnya untuk mempercayai akan hari akhirat dan mempercayai kewujudan malaikat yang mana kesemua ini adalah perkara ghaib yang tidak dapat dibayangkan dan dilihat dengan mata kasar manusia apatah lagi untuk merasainya.

Makhluk-makhluk ghaib yang akan dibincangkan termasuklah jin, syaitan dan iblis. Keturunun jin adalah berasal daripada ’Jaan’ yang pada mulanya adalah makhluk Allah S.W.T yang beriman kepadaNya. Keturunan ’Jaan’ terbahagi kepada dua iaitu yang beriman kepada Allah S.W.T dan yang kufur kepada Allah S.W.T. Makhluk ghaib yang diciptakan oleh Allah S.W.T adalah tidak berjisim dan justeru itu tidak dapat dilihat dan dirasai oleh kebanyakan manusia. Kejadiannya juga adalah berbeza iaitu malaikat dijadikan daripada cahaya manakala jin, iblis dan syaitan adalah daripada api (Haron Din, 1990). Antara surah-surah dari Al-Quran yang menerangkan mengenai kejadian jin ialah :

Dan ia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang.
(Surah Ar-Rahmaan : 15)
"Apakah halangan yang menghalangmu daripada sujud ketika Aku memerintahkanmu?" Iblis memjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan aku daripada api, sedangkan Engkau jadikan dia dengan tanah".(Surah Al-A’raaf : 12)
Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.(Surah Al-Hijr : 27)

Mempercayai kewujudan makhluk-makhluk ghaib adalah harus sebagaimana firman Allah S.W.T.:
Al-Quran itu tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi mereka yang bertakwa iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan sembahyang dan menggunakan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.(al-Baqarah, 2-40)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud ’Malaikat diciptakan daripada cahaya, jin diciptakan daripada nyalaan api sedangkan Adam diciptakan dari sesuatu yang telah menjadi sifat bagimu’(Hadis riwayat Muslim)
Ada pendapat yang mengatakan bahawa rupa bentuk jin tidak banyak berbeza daripada kejadian manusia, iaitu mereka mempunyai jantina, mata, hidung, tangan, kaki, telinga dan sebagainya. Pada dasarnya 80 hingga ke 90 % jin menyerupai manusia. Cuma yang berbezanya fizikal jin adalah lebih kecil dan halus daripada manusia. Bentuk tubuh mereka itu ada yang pendek, terlalu tinggi dan mempunyai pelbagai warna seperti putih, merah, biru, hitam dan sebagainya. Jin kafir dan jin Islam yang fasik itu mempunyai rupa yang hodoh dan menakutkan. Manakala jin Islam yang soleh pula mempunyai rupa paras yang elok. Ketinggian jin yang sebenarnya adalah kira-kira tiga hasta sahaja. Pengetahuan mereka lebih luas dan mempunyai umur yang panjang sehingga mecapai ribuan tahun. Kecepatan jin bergerak adalah melebihi gerak cahaya dalam satu saat. Memandangkan jin adalah terdiri daripada makluk yang seni dan tersembunyi, tidak zahir seperti manusia dan tidak sepenuhnya ghaib seperti malaikat, maka ruang yang kecil pun boleh diduduki oleh berjuta-juta jin dan ianya juga boleh memasuki dan menghuni tubuh badan manusia. Rasulullah SAW telah bersabda:

Jin itu ada 3 golongan. Satu golongan mempunyai sayap yang boleh terbang di angkasa, satu golongan berupa ular dan satu golongan lagi berpindah dan bertempat.(Hadis riwayat Imam At-Tabrani)

Jumlah jin terlalu ramai sehingga menurut sesetengah pendapat bilangannya ialah jumlah semua manusia daripada Nabi Adam hingga ke hari kiamat di darab dengan haiwan-haiwan, di darab dengan batu-batu, di darab dengan pasir-pasir dan semua tumbuh-tumbuhan manakala jumlah keseluruhan Malaikat hanya Allah dan Rasulnya sahaja yang lebih mengetahuinya. Rasulullah SAW bersabda :

Allah menjadikan para malaikat, jin dan manusia kepada sepuluh bahagian. Kadar bilangan malaikat adalah 9/10 sedangkan kadar jin dan manusia itu hanya 1/10. Dan kemudian daripada satu bahagian yang terakhir dipecahkan pula kepada sepuluh bahagian kecil; 9 bahagian kecil daripadanya adalah bilangan jin manakala satu bahagian lagi adalah manusia.

Terdapat beberapa perbezaan di antara jin, ifrit, syaitan dan iblis walaupun mereka adalah tergolong dalam golongan jin. Contohnya jin merupakan makhkluk yang tersembunyi, berpengetahuan luas dan mempunyai usia yang panjang. Ifrit pula adalah golongan jin yang sangat kuat, bijak menipu, sombong, derhaka kepada Allah dan amat membenci manusia. Seperti dalam firman Allah mengenai peristiwa Nabi Sulaiman a.s. dengan Ratu Sabak:

Berkatalah ifrit dari golongan jin ’Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah’(Surah An-Naml : 39)

Iblis dan syaitan merupakan golongan jin yang sombong, derhaka dan menjadi musuh utama manusia. Sesetengah ulama berpendapat, iblis asalnya bernama Azazil yang merupakan jin yang paling alim dan menjadi ketua ahli ibadat kepada jin dan malaikat. Namun disebabkan keangkuhan dan takbur maka Allah telah melaknatnya menjadi kafir dengan nama iblis. Bermula pada saat itulah iblis memusuhi manusia sehingga hari kiamat.
Firman Allah :
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya...(Surah Al-Anaam : 112)

PENGENALAN

PARANORMAL: DARI SUDUT AGAMA, SAINS DAN KEPERCAYAAN Paranormal adalah gabungan dua perkataan iaitu para yang bermaksud menjangkaui ...