Apa Itu Makhluk Ghaib?
Secara bahasa, makhluk ghaib adalah segala makhluk yang tidak dapat kita lihat dengan pancaindera kita, dengan mata kita. Secara syariat, yang dimaksud ghaib itu adalah sesuatu yang ada di dalam Al Quran, maupun hadis, tetapi kita sebagai manusia tidak dapat melihatnya. Di antara yang ghaib adalah syurga, neraka, azab kubur, hari kiamat dan termasuk jin. Untuk itu, kita harus percaya dan mengimani, walaupun kita tidak pernah melihat keberadaan makhluk itu.
Adapun pontianak, pocong, hantu bungkus dan sebagainya adalah wujud dari syaitan, sekiranya memang benar itu ada. Ini tidak bererti Allah menciptakan pontianak, pocong, atau hantu bungkus, tetapi semua itu hanyalah jelmaan yang wujud dan nampak kepada manusia kerana kerja-kerja syaitan.
Bagaimana Dengan Orang Yang Mengaku Melihat Bayangan Jin?
Sebagai seorang mukmin, ketika berbicara tentang keghaiban terutama yang berkaitan dengan kehidupan jin ini, kita tidak dapat memberi pernyataan kecuali perkara itu sememangnya dijelaskan dalam Al Quran dan hadis. Dalam Surah Al-A’Raf ayat 27 dijelaskan bahawa kita tidak dapat melihat jin, sementara mereka dapat melihat kita. Itulah situasi normalnya.
“Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya `auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.”
Namun, jin diberi keistimewaan oleh Allah untuk dapat menampakkan diri untuk menyerupai apapun, kecuali menyerupai diri Rasulullah. Sekali lagi, ini bukan bererti seseorang itu mampu melihat hakikat jin, tetapi jin itulah yang akan menampakkan diri. Perkara ini pernah terjadi pada zaman Rasullullah. Tetapi kalau mereka berada dalam wujud aslinya, kita sebagai manusia tidak dapat melihat mereka.
Dalam hadis Riwayat Imam Muslim dijelaskan bahawa sewaktu Rasullullah solat, Ifrit dari golongan jin juga menampakkan diri, menganggu sholat Rasulullah, kemudian ditangkap oleh Rasullullah. Begitu juga dengan Abu Hurairah ketika sedang menjaga harta zakat fitrah melihat jin yang menampakkan diri dan mencuri harta zakat itu. Jin itupun dapat ditangkap oleh Abu Hurairah. Persoalannya, yang kita lihat di televisyen atau media elektronik, penggambaran tentang nampaknya zahir jin ini adalah tidak sesuai dengan syariat Islam. Misalnya ketika ada jin yang menampakkan diri mereka kepada manusia, walaupun mungkin itu rekaan sahaja atau mungkin juga benar, dan ketika dilawan seolah-olah jin itu tidak tersentuh.
Ketika jin itu dilempar dengan sesuatu seperti melempar pada ruang kosong udara. Sedangkan sebagaimana yang diriwayatkan dalam salah satu hadis ada seorang pemuda yang bertemu ular, yang mana ianya adalah wujud zahir dari jin tersebut. Kemudian ular itu dibunuh maka jin itu pun mati. Dari sini kita mengambil kesimpulan, ketika jin menampakkan diri misalnya sebagai manusia, maka berlakulah hukum manusia. Sekiranya ditembak ia akan mati dan sekiranya kita lemparkan dengan batu ianya pasti kena dan tidak hanya tembus, seperti yang digambarkan di media selama ini.
Menurut Imam Mutawali Sya’rowi, jin yang tengah menampakkan diri, berada dalam keadaan lemah, ibarat ikan yang keluar dari air. Saat jin menampakkan diri, ia tengah keluar dari komuniti aslinya yang tidak dapat dilihat, maka keadaannya lemah sekali. Kerana itu mereka juga tidak akan menampakkan dirinya terus menerus atau dalam waktu yang lama, dan apabila ketika itu ada yang membunuhnya, sudah tentu dia akan mati.
Alasan Jin Menampakkan Diri
Dari kes-kes yang pernah dihadapi oleh peruqyah terhadap pesakit-pesakit yang menceritakan tentang pengalaman mereka, kita dapat simpulkan bahawa jin yang menampakkan diri memang mempunyai misi utama iaitu untuk menyesatkan kita. Sering kali juga kita dengar, apabila ada orang yang meninggal secara tidak normal, hampir selalu akan ada jelmaan hantu dan sebagainya, kononnya dikatakan rohnya pulang atau menziarahi keluarganya. Padahal itu adalah penampakan yang dilakukan oleh syaitan. Bila kes seperti ini terjadi, pihak keluarga si mati mungkin melakukan suatu bentuk ritual pemujaan yang menyimpang, datang ke kubur si mati tadi dan memintanya supaya tidak mengganggu keluarganya. Inilah misi jin atau syaitan iaitu berusaha agar manusia mengambil tindakan yang salah dalam menghadapi fenomena wujudnya jin tadi dalam bentuk nyata.
Sebenarnya ada beberapa kemungkinan seseorang itu boleh melihat jin. Pertama, orang yang mengaku itu berbohong dan sekadar ingin mencari ‘glamour’ sahaja, sedangkan sesungguhnya dia tidak melihat. Kedua, orang tersebut tengah berada dalam keadaan lemah, dalam erti kata ketaatan dan imannya sedang berkurang. Jadi jin ingin mempermainkan dia dengan penampakan atau wujud dalam bentuk seseorang seperti malaikat, wali, orang saleh dan sebagainya agar orang yang tengah lemah iman ini salah dalam menentukan tindakannya.
Ketiga, yang dilihat itu sesungguhnya sekadar halusinasi saja atau orang tersebut penuh dengan imaginasi ciptaannya sendiri. Orang yang jiwanya tidak stabil, mudah melihat sesuatu tidak seperti hakikatnya. Ketika melihat daun bergoyang sahaja dia menganggap ada orang melambai-lambai. Keempat, orang tersebut memang mempunyai ilmu sihir, yang bererti dia memang berkerjasama dengan syaitan, dengan ritual-ritual yang menyimpang dari syariat Islam, hingga dapat berkomunikasi atau melihat syaitan.
Ramai dari orang yang mengaku mampu melihat jin itu membawa simbol-simbol Islam seperti memakai serban, membaca ayat-ayat Al Quran dan lain-lain. Inilah yang sangat kita kesalkan. Masyarakat masih sering tertipu dengan penampilan seseorang sehingga mereka tidak mengkaji samada tindakan yang dilakukan sesuai dengan syariah atau tidak. Untuk menilai kesahihan kelakukan mereka itu, kita hendaklah melihat apakah tindakan yang dilakukannya itu menurut tuntunan daripada Al Quran dan hadis atau tidak.
Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari dengan sederhana sekali menjelaskan kepada kita langkah-langkah untuk mengusir syaitan dari rumah, iaitu dengan membaca surat Al Baqarah dari awal sampai akhir. Jadi, tidak ada istilah jin itu dikejar, kemudian ditangkap dan dimasukkan ke botol. Jadi, itu semua adalah cara-cara perdukunan, meskipun yang melakukan itu berperwatakan seperti seorang ustaz.
Kekeliruan Media Elektronik Dalam Memvisualisasikan Jin
Rancangan yang melibatkan jin dalam kehidupan
manusia terutamanya di televisyen semakin marak. Bentukpun bermacam ragam. Ada
yang berupa filem, drama, reality show,
infotainment dan kartun untuk anak–anak. Mereka berusaha untuk
menvisualisasikan keberadaan jin dan syaitan dengan cara mereka sendiri,
berdasarkan pemikiran dan pemahaman yang ada atau berdasarkan cerita rakyat
yang tersebar dari mulut ke mulut yang kebenarannya masih harus dipersoalkan.
Cuba kita perhatikan beberapa kekeliruan-kekeliruan yang ditimbulkan oleh
mereka tentang jin atau syaitan yang telah diciptakan oleh Allah sebagai
makhluk ghaib ini.
Kekeliruan yang dimaksudkan di sini adalah
penggambaran jatidiri jin yang tidak sesuai dengan syariat Islam atau yang
menyimpang darinya. Sudut pandang kita adalah syariat Islam, bukan seni lakon,
teknik mengambil gambar, mitos yang berkembang, budaya yang ada atau presepsi
masyarakat. Walaupun tayangan-tayangan tersebut disajikan dalam bentuk hiburan
dan tontonan Di antara kekeliruan televisyen dalam memaparkan kehidupan jin
adalah:
1.
Setiap orang yang mati secara tidak normal
rohnya pasti akan berterbangan
Yang harus kita ditegaskan di sini adalah
bahawa syariat Islam tidak mengenal istilah arwah berterbangan. Ini kerana roh
orang yang baik atau jahat ketika dicabut dari jasadnya, kedua-duanya telah kembali
ke tempat yang telah disediakan Allah. Roh orang-orang yang shalih telah
disediakan di tempat yang terpisah dari roh orang-orang kafir. Sebagaimana yang
termaktub dalam kita shahih muslim 4/2202 no 2872 dalam hadis tentang tempat
kembalinya roh orang mukmim dan kafir. Disebutkan nama tempat kembali keduanya
sama iaitu akhirul ajal. Tetapi qodhi
iyadh menjelaskan bahawa kedua kata itu berbeza erti. Roh mukmin akan kembali
ke Al Malaul a’la atau Illiyyin (tempat yang paling atas) atau
roh kafir kembali ke sijjin (tempat
yang paling bawah). Pernyataan beliau didukung oleh hadis yang diriwayatkan
oleh Baihaqi dari Abu Said Al-Khudri yang jelas menyebut sijjin sebagai tempat kembali roh kafir.
Jadi tidak ada roh berterbangan dalam kajian
Islam. Kalau begitu, siapa yang menampakkan diri dan menyerupai orang yang
telah meninggal dunia? Penampakan itu ada kerana halusinasi orang yang melihat
atau memang benar-benar penampakan yang dilakukan oleh jin. Adapun halusinasi
tidak masuk dalam pembahasan kita kerana kita hanya membahas penampakan jin.
Memang jin mampu mengubah dirinya dalam bentuk yang dikehendaki oleh Allah
sesuai dengan izin-Nya, tetapi jin tidak dapat menyerupai peribadi Rasulullah
Muhammad s.a.w. “Syaitan tidak akan dapat menyerupaiku,” begitulah
Rasulullah Muhammad s.a.w menegaskannya dalam hadis riwayat imam Bukhari dan
imam Muslim.
Jadi kalau ada penampakan seperti orang yang
telah meninggal, itu bukan roh orang meninggal tadi. Tapi itu adalah perbuatan
syaitan untuk menyesatkan manusia. Dan jelas misi mereka telah berhasil, kerana
ramai masyarakat yang termakan oleh persepsi dan pandangan yang salah tersebut.
Buktinya filem tentang arwah yang berterbangan diyakini sebagai roh manusia.
Kalau penampakan itu serupa dengan orang yang telah meninggal, begitu juga
dengan tindakan dan tutur katanya juga sama, biasanya ia dilakukan oleh jin
qarin. Jin qarin adalah jin pendamping yang mendampingi seseorang semenjak
dilahirkan, sehingga ia sangat mengetahui kebiasaan dan tabiat dari manusia yang
didampinginya.
Rasulullah Muhammad S.A.W bersabda, “Tidaklah
seorang pun di antara kalian kecuali disertakan untuknya qarin dari jin dan
qarin dari malaikat.” (HR Muslim dan Ahmad dari Ibnu Mas’ud)
2.
Roh yang berterbangan dapat menampakkan diri.
Roh adalah suatu yang ringan dan lembut yang
bergerak dan mengalir dalam tubuh, sebagaimana air mengalir dalam tumbuhan atau
api di dalam sekam. Setiap jasad yang ada rohnya masing-masing akan
bertanggungjawab atas perbuatannya selama di dunia. Rasulullah Muhammad s.a.w
bersabda,
“Sesungguhnya tiap-tiap kalian dikumpulkan
di dalam rahim ibunya selama 40 hari berupa nutflah, kemudian menjadi ‘alaqah
selama itu juga, kemudian menjadi mudhghah selama itu juga. Kemudian diutuslah
malaikat untuk meniupkan rohnya.” (HR Bukhari dan Muslim)
Roh yang ditiupkan ke dalam jasad adalah
salah satu dari permasalahan ghaib yang hakikatnya hanya diketahui oleh Allah.
Oleh itu ketika Rasulullah Muhammad s.a.w ditanya tentang roh, Allah memberinya
jawaban;
“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh.
Katakanlah: "Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi
pengetahuan melainkan sedikit.” (QS. Al-Isra: 85)
Tidak ada satu ayat pun atau hadis yang
menjelaskan bahawa roh yang telah keluar dari jasadnya, dapat berubah wujud
menjadi jasad yang ditinggalkannya, apalagi merasuki jasad orang lain. Yang
dapat berubah wujud atau menyerupai seseorang adalah jin.
3.
Jin yang menampakkan diri tidak dapat
disakiti.
Seringkali kita lihat dalam televisyen yang
menceritakan suasana ketakutan yang dialami oleh seseorang ketika syaitan
datang menampakkan dirinya. Di dalam keadaan serba takut, orang tersebut
berusaha melawan, menembak dengan senjata api, menikamnya dengan senjata tajam
atau melemparnya dengan benda-benda di sekitarnya. Akan tetapi usaha tersebut
hanya sia-sia belaka, malah hantu tersebut ketawa dan dengan sombongnya
memperlekehkan orang tersebut. Tidak ada satupun senjata yang dapat melukainya.
Semuanya hanya tembus begitu saja seperti melempar ruang kosong. Sehingga penonton
berkeyakinan bahawa syaitan itu sangat hebat dan sakti kerana tidak dapat
disakiti.
Maklumat ini jelas bertentangan dengan
syariat Islam yang telah menceritakan bahawa syaitan yang berubah wujud dan
menampakkan diri ternyata dapat disakiti bahkan dibunuh. Suatu ketika Abu Sa’id
al-Khudri menceritakan bahawa ada seorang sahabat yang membunuh seekor ular dan
ular itu mematuknya dan sahabat itu mati serta merta. Ketika peristiwa itu
diceritakan kepada Rasulullah, beliau bersabda,
“Sesungguhnya di Madinah ini ada jin yang
telah masuk Islam. Oleh sebab itu, jika kalian melihat salah satu dari mereka,
maka usirlah sampai batas waktu tiga hari. Jika stelah itu ia masih terlihat,
maka bunuhlah kerana ia adalah syaitan.” (HR Muslim)
Aisyah berkata, “Ketika Rasulullah shalat,
datanglah syaitan kepadanya. Lalu Rasulullah menangkapnya, menghempas dan
mencekiknya. Rasulullah bersabda, “Sampai aku terasa akan lidahnya yang dingin
di tanganku.” (HR. Nasai).
Dari dua riwayat di atas jelaslah bagi kita
bahawa syaitan yang menampakkan diri pada alam manusia akan berlaku baginya
hukum manusia, dapat disakiti atau kita bunuh sebagaimana yang telah dilakukan
oleh seorang sahabat Rasulullah Muhammad s.a.w.
4.
Jin mengetahui hal yang ghaib
Termasuk yang sering diutarakan oleh media
elektronik mengenai kehidupan jin adalah kehebatannya dalam mengetahui hal-hal
ghaib. Bahkan kadang-kadang berlebihan dan dibesar-besarkan sehingga ketika ada
masalah yang berkaitan dengan keghaiban, maka cara penyelesaiannya hendaklah
melalui proses perdukunan seperti nasib seseorang pada masa yang akan datang,
jodohnya atau kejayaan yang akan diraih. Ini kerana mereka menyakini bahawa
dukunlah yang mempunyai kekuasaan atas jin, sehingga diyakini dapat
menyelesaikan masalah ghaib yang mereka hadapi. Adanya program televisyen
seperti ini dapat menjauhkan para penonton untuk bergantung nasib kepada Allah
semata-mata. Secara umum hakikat jin ini adalah seperti manusia dalam masalah
keghaiban, mereka tidak mengetahui hal-hal ghaib secara mutlak atau hakiki. Jin
telah mengakui hal itu dalam Al Qur'an,
“Dan sesungguhnya kami tidak mengetahui
(dengan adanya penjagaan itu) apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang
di bumi ataukah Tuhan mereka menghendaki kebaikan bagi mereka.” (QS,
al-Jin: 10)
Bahkan Allah telah menunjukkan kepada kita akan kebodohan jin terhadap perkara yang ghaib, termasuk kematian seseorang.
“Maka tatkala kami telah menetapkan
kematian Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali
anai-anai yang memakan tongkatnya. Maka tatkala ia tersungkur, jin baru
mengetahuinya kalau sekiranya mengetahui hal yang ghaib tentulah mereka tidak
tetap dalam seksa yang menghinakan.” (QS. Saba’: 14).
Para jin itu baru mengetahui kematian Nabi Sulaiman, setelah anai-anai memakan tongkatnya dan kemudian dia jatuh tersungkur. Inilah bukti kukuh bahawa jin tidak mengetahui hal yang ghaib, tidak seperti yang digambarkan di dalam televisyen, seakan-akan jin dapat mengetahui isi hati dan nasib manusia. Itulah persepsi yang salah dan harus diperbetulkan.
5.
Jin takut terhadap benda-benda yang
dikeramatkan.
Itulah persepsi yang berhasil diwujudkan oleh
televisyen atau media massa. Merekalah yang sering menampilkan beragam bentuk
azimat yang digunakan oleh pemiliknya untuk mengusir jin. Mereka juga
memberitahu kepada masyarakat bahawa dukun dan azimat yang dimilikinya itu
dapat menghalau syaitan. Itulah cerita mistik dan menyesatkan yang dihembuskan
oleh syaitan melalui media. Sedar atau tidak, tayangan seperti itu mengajak
penontonnya untuk pergi mendapatkan rawatan ke dukun atau paranormal. Padahal
Rasulullah s.a.w telah menegaskan dengan sangat jelas melalui hadis di bawah.
“Barangsiapa yang memakai (menggantungkan)
azimat maka ia telah syirik.”(HR Ahmad dan dishahihkan Al Albani)
Yang menciptakan syaitan adalah Allah. Allah yang paling mengetahui tentang apa saja yang disukai syaitan atau yang ditakutinya. Tidak ada satupun ayat dan hadis Rasulullah yang menjelaskan bahawa syaitan takut pada azimat, isim, wafaq, rajah dan benda-benda pusaka dan yang sejenisnya. Yang dijelaskan oleh syariat Islam adalah syaitan takut terhadap bacaan ayat-ayat suci Al Qur'an atau doa-doa Rasulullah Muhammad s.a.w. Sabda Rasulullah;
“Sesungguhnya syaitan akan pergi dan lari
dari rumah yang di dalamnya dibacakan surat al-baqarah.” (HR Muslim).
Dalam hadis lain Rasullah menjelaskan;
“Apabila kamu hendak tidur di pembaringan,
bacalah ayat kursi sampai habis, kerana Allah senantiasa menjagamu dan syaitan
tidak akan mendekatimu sampai pagi.” (HR Bukhari dari Abu Hurairah).
Itulah cara mengusir syaitan dan membentengi
diri dari gangguan syaitan yang disyariatkan oleh Islam, bukan azimat
sumber-sumber lain dari dukun.
6.Apakah jin boleh dilihat oleh manusia?
Allah s.w.t berfirman yang ertinya, “Sesungguhnya dia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu
tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka.” (Al-A’raf: 27).
Ayat ini difahami oleh sekian ramai ulama
sebagai dalil ketidakmungkinannya manusia melihat jin. Imam Syafii menegaskan,
bahawa berdasarkan ayat di atas, manusia tidak mungkin melihat jin. “Siapa yang
mengaku dapat melihat jin, maka kami tolak kesaksiannya, kecuali nabi.” (Maksud
ucapan ini adalah yang mengaku melihat jin dalam bentuk yang aslinya. Adapun
yang mengaku melihat jin setelah berubah bentuk dengan aneka bentuk makhluk,
maka kesaksiannya dapat diterima).
Sebahagian yang lain mengakui bahawa jin dapat
dilihat oleh manusia jika jin berubah dengan bentuk makhluk yang dapat dilihat
oleh manusia. Pendapat ini didukung oleh riwayat-riwayat yang menginformasikan
bahawa para sahabat Nabi s.a.w., tabi’in, dan ramai ulama pernah melihat
makhluk-makhluk halus, tetapi dalam bentuk manusia atau binatang.
Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab sahihnya
bahawa sahabat-sahabat Nabi s.a.w. pernah melihat Malaikat Jibril ketika dia
datang dalam bentuk manusia. Umar bin Khattab menuturkan bahawa suatu ketika
datang seorang yang tidak dikenali, berpakaian sangat putih, rambut teratur
rapi, tidak nampak dari penampilannya tanda-tanda bahawa dia datang dari
perjalanan jauh. Orang itu bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang Islam, iman, dan
ihsan. Setiap Nabi s.a.w. menjawab, dia membenarkannya. Dia juga bertanya
tentang kiamat dan tanda-tandanya. Umar r.a. dan juga sahabat-sahabat Nabi
s.a.w. yang mendengarnya kehairanan. Bagaimana seorang yang berpenampilan rapi,
berpakaian bersih, yang bererti bahawa yang bersangkutan tidak datang dari
tempat jauh atau dengan kata lain dia adalah penduduk setempat tetapi tidak mereka
kenal? Mereka juga kehairanan mengapa setiap pertanyaannya yang dijawab oleh
Nabi s.a.w., selalu yang bertanya itu sendiri yang membenarkannya. Ketika
percakapan Nabi s.a.w. dan pendatang itu selesai, Nabi s.a.w. bertanya kepada
para sahabatnya, “Tahukah kalian, siapa yang datang tadi?” Mereka menjawab,
“Allah dan Rasul-Nya yang tahu. Nabi saw. menjelaskan, “Itulah Jibril datang
mengajar kalian agama kalian.” Mendengar penjelasan Nabi s.a.w. itu, Umar r.a.
bergegas keluar hendak melihatnya, tetapi dia telah menghilang.
Nah, jika demikian, malaikat dapat dilihat,
tetapi bukan dalam bentuk aslinya. Dia dapat dilihat apabila mengambil bentuk
yang memungkinkan untuk dilihat manusia.
Demikian halnya dengan jin, ia dapat dilihat
bukan dalam bentuk aslinya, tetapi bila ia mengambil bentuk yang sesuai dengan
potensi penglihatan manusia. Riwayat-riwayat tentang hal ini sangat banyak.
Bahkan, tidak hanya ulama, orang-orang biasa yang tidak ahli agama pun banyak
yang mengalami melihat jin dalam bentuk makhluk (manusia atau lainnya). Dan, di
antara mereka ada yang sengaja dengan sunguh-sungguh ingin melihat jin, mereka
mengamalkan amalan dari orang-orang yang dianggap ahli dalam hal itu, dan
mereka ada yang berhasil mendapatinya bahwa jin dapat dilihat dalam bentuk
makhluk.
Selain itu, ada beberapa hadis Nabi s.a.w. yang menginformasikan bahawa
ada binatang yang dapat melihat jin. Dalam sahih Bukhari dan Muslim, sahabat
Nabi Abu Hurairah menyampaikan bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Kalau kalian mendengar suara ayam jantan berkokok, maka mohonlah kepada
Allah anugerah-Nya, kerana ketika itu dia melihat malaikat, dan jika kalian
mendengar teriakan keldai, maka mohonlah perlindungan kepada Allah dari godaan
syaitan, kerana ketika itu dia melihat syaitan.”
6.
Jin takut kepada sinar matahari.
Beberapa tayangan televisyen yang melibatkan
jin dalam jalan cerita mereka, sering digambarkan bahawa jin atau syaitan itu
takut pada sinar matahari. Digambarkan ada jin yang mendatangi seseorang dan
menampakkan diri mereka. Dengan berbagai cara dia cuba menimbulkan ketakutan
pada orang tersebut dengan menampakan mukanya yang hodoh dan menyeramkan,
badannya dan bentuknya yang mengerikan. Dan ketika ada ayam yang berkokok
menandakan fajar menyingsing dan matahari akan terbit, maka syaitan tadi pun
lari ketakutan dan meninggalkan orang tersebut. Mungkin ini termasuk mitos
agama dari agama Majusi yang menjadikan matahari sebagai tuhan dan mereka
percaya bahawa sinar matahari pasti akan ditakuti syaitan sebagaimana
kepercayaan Ratu Balqis, isteri kepada Nabi Sulaiman dan kaumnya sebelum
menerima Islam seperti yang diabadikan di dalam Al Qur'an Surah An Naml ayat
24.
“Aku mendapati dia dan kaumnya menyembah
matahari, selain Allah; dan syaitan telah menjadikan mereka memandang indah
perbuatan-perbuatan mereka lalu menghalangi mereka dari jalan (Allah), sehingga
mereka tidak dapat petunjuk.”
Tapi benarkah syaitan itu takut terhadap
sinar matahari? Dalam sebuah hadis Rasulullah Muhammad s.a.w bersabda,
“Sesungguhnya matahari terbit antara dua
tanduk syaitan dan tenggelam antara dua tanduk syaitan.” (HR Bukhari dan
Muslim)
Jadi, bagaimana kita dapat mengambil
kesimpulan bahawa syaitan itu takut kepada matahari sedangkan matahari itu
terbit dan tenggelam di antara dua tanduk syaitan? Manusia itu sentiasa belajar
dari apa yang dilihat dan didengar dan yang dirasakan. Maka, janganlah kita
menganggap mudah terhadap tayangan televisyen yang ada, kerana sedikit sebanyak
tindakan dan pola berfikir kita akan diwarnai dengan maklumat yang bercelaru di
sekitar kita. Orang yang suka melihat rancangan mistik dan berbentuk
perdukunan, maka cara orang tersebut dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi
tidak akan lari dari dukun.