KAEDAH PENGKAJIAN


KAEDAH PENGKAJIAN
Terdapat banyak kajian paranormal yang dijalankan secara saintifik dan umumnya terdapat beratus-ratus persatuan/pertubuhan yang menjalankan kajian sedemikian. Kajian yang dijalankan adalah merangkumi penggunaan peralatan moden seperti video kamera, kamera, perakam audio dan pelbagai lagi peralatan sampingan. Amalan ritual dan pemujaan dalam usaha untuk ’menghubungi’ makhluk ghaib adalah cuba dielakkan. Antara istilah yang sering digunakan untuk pengkaji paranormal untuk mewakili kewujudan makhluk ghaib ialah istilah ’entiti’. Entiti adalah hasil kewujudan jin kerana jin diperbuat daripada api. Secara saintifik, entiti terhasil dari ion dan plasma (Lando Zawawi, 2004).

Penyelidik paranormal barat berpendapat entiti adalah tenaga elektromagnet dalam tubuh manusia yang terbebas apabila meninggal dunia. Dalam badan manusia terdapat ‘basic electrical charges’ iaitu proton, neutron dan nukleus (Zukarnain Zakaria, 2004).

Teknologi gelombang bunyi digunakan untuk mengesan kehadiran entiti. Dari segi saintifik, jika ada entiti terdapat gelombang atau ion negatif. Penggunaan teknologi moden seperti alat pengesan gelombang bunyi, kamera video dan pengimbas cahaya UV (ultraviolet) dan kemudiannya menggunakan radar dan kamera infrared dapat mengesan kehadiran entiti. Pengkaji paranormal berpendapat bahawa ion-ion negatif boleh dihalau keluar dengan menggunakan kaedah gelombang bunyi dan cahaya ultra violet.
Sebuah pertubuhan di barat iaitu The American Association of Electronic Voice Phenomena merupakan sebuah pertubuhan yang menyokong dan membantu para pengkaji paranormal untuk merakam audio (Electronic Voice Phenomena) dan merakam imej dan audio (Instrumental TransCommunication) dari dimensi lain yang tidak dapat didengari dan dilihat oleh manusia biasa dengan menggunakan peralatan tertentu termasuk penggunaan komputer dan fenomena ini telah mewujudkan suatu bentuk komunikasi baru dengan dimensi lain.

Namun begitu kajian paranormal sering menemui pelbagai rintangan dari segi kesahihan memandangkan telah banyak laman web mengenai paranormal yang didirikan orang pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka cuba mengeksploitasikan teknik super impose kepada sesuatu imej untuk mengaut keuntungan.

Selain daripada kaedah menggunakan peralatan berteknologi untuk mengesan kehadiran mahkluk ghaib atau lebih dikenali sebagai entiti oleh pengkaji paranormal, kaedah lain yang turut digunakan ialah melalui tubuh badan manusia. Secara saintifik, tubuh badan manusia mempunyai tenaga elektromagnet. Tenaga ini terhasil daripada kewujudan cas elekrik dan medan magnet. Setiap denyutan jantung manusia menghasilkan rembesan elektrik. Selain daripada tenaga elektromagnet, tubuh badan manusia juga membawa cas elektrik statik. Sebagai contoh kita menggosokkan tangan kepada pembaris plastik dan didekatkan kepada habuk maka akan ada tarikan seperti magnet. Unsur alam persekitaran pula disatukan oleh elektron (cas negatif), proton (cas positif) dan neutron. Ini bermaksud semua tumbuhan dan hidupan di atas muka bumi mempunyai tenaganya sendiri.

Menurut ajaran dan amalan Chakra, terdapat pusat-pusat dan saluran aliran tenaga batin dan emosi di seluruh badan manusia. Aliran tenaga ini sebenarnya adalah medan elektromagnetik ataupun medan tenaga biologi yang melingkungi tubuh badan. Di dalam tafsiran moden, medan ini dikenali sebagai aura. Melalui kajian saintifik, setiap anggota badan mengeluarkan medan tenaga yang berlainan dan gabungan tenaga ini membentuk aura seseorang. Secara khususnya, aura merupakan medan tenaga biologi ataupun medan psikik yang menyelubungi semua makhluk. Saiznya berbeza dari beberapa inci ke beberapa kaki di semua arah dan merupakan pancaran dari badan manusia. Aura juga terdiri daripada tujuh lapisan, di mana lapisan luaran berkaitan dengan jiwa dan roh manakala lapisan dalaman berkaitan dengan minda, emosi dan kesihatan.
Berbalik kepada persoalan paranormal maka dapatlah dikaitkan di sini bahawa berlakunya interaksi manusia dengan entiti melalui teori-teori yang disebutkan seperti di atas. Contohya pengkaji paranormal dan feng shui dari Singapura pula berpendapat bahawa apabila manusia meninggal dunia, gas dalam bentuk ion-ion positif dan negatif akan dilepaskan dari tubuh manusia ke udara. Walaubagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada gas tersebut adalah roh manusia. Natijahnya, apabila kita berada di tempat-tempat yang dianggap berhantu, gas-gas tersebut akan bergeseran dengan bulu roma dan menghasilkan elektrik statik dan kesan tersebut akan menyebabkan bulu roma meremang dan signal (saraf) akan dihantar ke otak dan terus diintrepetasikan bahawa kawasan itu berhantu. Oleh sebab itulah keadaan meremang atau takut dengan tiba-tiba dipercayai menandakan ada makhluk lain di sekeliling atau berhampiran dengan kita.

Pengamal aura pula yang belajar menggunakan dan mengaplikasikan tenaga dalamannya juga boleh mengesan kehadiran makhluk-makhluk halus melalui deria seperti terasa panas, sejuk, sesak nafas dan sebagainya. Ada juga yang boleh mengesan dengan mengetahui bentuk makhluk halus dalam bentuk frekuensi dan cahaya. Menurut Krizhanovsky, seorang profesor dalam bidang fizik, medan tenaga biologi (aura) merupakan hasil interaksi yang rumit di antara medan fizikal dan radiasi seperti medan elektromagnetik, medan graviti, medan akustik dan medan molekul. Ia terbentuk apabila badan objek bio berinteraksi dengan persekitaran (termasuklah entiti) dan membawa pelbagai maklumat mengenai objek bio tersebut. Selain itu juga pengamal-pengamal aura mampu untuk menghalang kehadiran makhluk halus dan kadangkala boleh mengeluarkan sihir yang diakibatkan oleh makhluk halus.

Dari sudut agama Islam, cara yang paling terbaik untuk menghindari diri dari terkena gangguan mahkluk halus ialah penggunaan ayat Al-Quran. Ayat-ayat Al-Quran mempunyai pelbagai khasiat untuk menyembuhkan pelbagai penyakit. Setiap ayat-ayat Al-Quran mempunyai cahaya atau nur yang berbeza-beza dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sebagai contoh, sering kita lihat ialah sewaktu membaca surah Yasin di masjid di mana bekas-bekas berisi air kosong dibuka tudungnya untuk membenarkan cahaya atau nur dari surah Yasin meresap masuk ke dalam bekas tersebut dan menjadi penawar atau apa jua permintaan dengan izin Allah S.W.T. Justeru kita perlu percaya dan meyakini bahawa ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan oleh Allah merupakan ubat atau penawar yang mujarab untuk menyembuhkan pelbagai penyakit dengan ‘izin’ Allah. Secara asasnya, cara untuk menghindari dari terkena gangguan mahkluk halus ialah seperti sentiasa bertakwa dan mengikut suruhan Allah S.W.T, berzikir, penggunaan ayat-ayat tertentu daripada surah Al-Quran dan yang paling penting sekali ialah berdoa kepada Allah S.W.T. Seperti firmanNya:

Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan maka hendaklah engkau meinta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.(Surah Fussilat : 36)
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)(Surah Al-A’Raaf : 200-201)

KESIMPULAN

Kajian dan pemahaman mengenai kewujudan makhluk-makhluk ghaib perlu dijalankan dengan penuh teliti dan berhati-hati dan perlu sentiasa merujuk kepada Al-Quran dan hadis sebagai pegangan demi mengukuhkan akidah agar tidak terserong. Namun begitu penemuan dan teori sains dan teknologi dalam kajian paranormal adalah juga perlu sebagai sumber pengetahuan. Dalam erti kata lain, masyarakat terutamanya umat Islam perlu menyedari bahawa mereka lebih harus takut kepada Allah S.W.T. daripada takutkan makhluk-mahkluk ghaib. Dalam membincangkan topik ini, kita perlu lebih berpaksikan kepada sudut keagamaan di samping menerima pendapat, penyelidikan dan penggunaan teknologi moden yang berkaitan dengan paranormal sebagai kaedah yang lebih bersifat saintifik. Dalam ajaran Islam, manusia adalah salah satu makhluk yang diciptakan oleh Allah S.W.T. Selain itu juga kita perlu mengetahui dan mempercayai akan kewujudan makhluk-makhluk lain yang juga diciptakan oleh Allah S.W.T. Dengan mengkaji kewujudan makhluk-makhluk ghaib maka kita akan lebih mengetahui akan hakikat kejadian mahkluk tersebut secara umum di mana kajian ini juga akan terbatas dengan kekayaan dan kekuasaan ilmu dari Allah S.W.T. yang sesungguhnya lebih luas dan tidak mampu dicakupi oleh pemikiran manusia.

PENGENALAN

PARANORMAL: DARI SUDUT AGAMA, SAINS DAN KEPERCAYAAN Paranormal adalah gabungan dua perkataan iaitu para yang bermaksud menjangkaui ...